Fenomena pembuangan bayi kian
membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend
atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu
ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong
radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita
mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara
luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang
proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat.
Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani
masalah ini ialah ibu bapa.
Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada
di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak
mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara
pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya
berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja.
Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi
hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh
sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar
mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.
Selain
itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun
sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat
mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati
pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih
sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif
seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa
meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi
bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan
mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan
aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.
Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi
ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani
masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan
melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem
motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda
negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk
sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa
si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa
pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan
bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih
baik daripada mengubati”.
Di
samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap
remaja. =>Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik
anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian
kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina
kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan
anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama
yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini
perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai
tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, “Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu
jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati
zina dan terlibat dalam kancah maksiat.
Ibu bapa
juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan
situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara
seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka.
Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan
arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa
mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu
bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan
perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan
sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit
ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa
mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini
dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.
Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting
dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. =>Selain ibu bapa,
pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini.
Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua
pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan
yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu,
didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat
kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian
dengan peribahasa Melayu, “Melentur
buluh biarlah dari rebungnya”.
No comments:
Post a Comment